SEMEKAR di hati SEMEKAR di hati...

Thursday, February 16, 2012

Sejarah Penubuhan Semekar

Pada Januari 1966, SMK Kalaka telah memulakan langkah pertama dengan menumpang di SMK Kabong. SMK Kalaka memulakan operasi  dengan pelajar seramai 39 orang. Pada ketika itu, bangunan SMK kalaka yang bertempat di Kabong beratap dan berdindingkan daun nipah serta berlantaikan buluh dan batang nipah. Encik Watson Ho Wat Seng merupakan pengetua pertama SMK kalaka. Beliau berkhidmat selama 1 tahun sebagai pengetua SMK Kalaka dan dibantu oleh dua orang guru iaitu  cikgu Abang Nordin dan Mr. Gary Lewis Howard yang merupakan seorang bekas askar di Vietnam.

Pada penggal kedua sesi persekolahan 1966 iaitu pada bulan Mei, SMK Kalaka di Kabong telah dipindahkan ke SMK Saratok.  Seramai 39 orang pelajar Tingkatan 1 SMK Kalaka terlibat dalam perpindahan tersebut. Setelah 6 bulan menumpang di SMK Saratok, jumlah pelajar semakin bertambah dan hal ini telah menyebabkan keadaan di SMK saratok menjadi semakin sesak. Maka sekali lagi SMK Kalaka dipindahkan ke sekolah St. Peter, Saratok.

Pada Oktober 1967, akhirnya 80 orang pelajar Tingkatan 1 dan 4 orang staf guru SMK Kalaka telah dipindahkan ke SMK kalaka, Roban  yang pada ketika itu pembinaannya separuh siap. Hanya blok pentadbiran, blok ERT, kuarters pengetua, beberapa kuarters guru dan kakitangan sokongan serta gelanggang bola tampar yang pada ketika itu sudah siap dibina.

Tanggal  3 oktober 1970, SMK Kalaka telah dibuka secara rasmi oleh Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Haji Abdul Rahman Yaakub. Dengan pembukaan rasmi tersebut, maka SMK Kalaka  merupakan salah sebuah sekolah menengah yang terdapat di bahagian Sri Aman. Oleh sebab pertambahan jumlah para pelajar yang semakin ramai, sebuah blok bangunan bilik darjah  telah siap dibina pada tahun 1977.

Pada tahun 1994, SMK Kalaka telah berjaya melahirkan kumpulan pertama para pelajar Tingkatan 4 dan kumpulan ini juga merupakan kumpulan pertama yang menduduki peperiksaan SPM. Pada tahun 1996, astaka sekolah telah siap dibina. Berikutan pertambahan bilangan guru yang mengajar, maka  tiga blok flat guru dan seunit kuarters baru pengetua telah dibina pada tahun 2002 . Pada tahun seterusnya, makmal komputer telah dibina dan makmal inilah yang merupakan satu-satunya tempat untuk para pelajar meluaskan lagi pengetahuan mereka dalam bidang ICT.

                Pada tahun 2005, SMK kalaka telah berjaya menubuhkan kumpulan pertama pelajar Tingkatan 6 aliran kemanusiaan. Memandangkan bilik kelas yang tidak mencukupi maka, sebuah blok asrama lelaki telah diubahsuai dan dijadikan blok kelas Tingkatan 6. Sehingga tahun 2012, seramai 412 orang pelajar telah menuntut di Tingkatan 6  sekolah ini.

1 comment:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...